Dec 06, 2024 - FASTamatnya perlawanan keenam peringkat Kumpulan H, maka berakhirlah juga perjuangan skuad Selangor FC dalam saingan ACLTwo 2024/25 dengan perbezaan satu mata sahaja dengan pasukan di tempat kedua Kumpulan H, Muangthong United FC.
Hanya dua pasukan; tempat pertama dan kedua setiap Kumpulan layak ke pusingan seterusnya. Biarpun tidak layak, tahun pertama skuad Gergasi Merah dalam saingan ACLTwo 2024/25 berakhir di tempat ketiga, dengan 10 mata daripada tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Selangor FC tetap berjaya mencipta kemenangan dalam perlawanan terakhir peringat Kumpulan saingan ACLTwo 2024/25 dengan keputusan 4-0 ke atas Dynamic Herb Cebu F.C. di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina.
Separuh masa pertama semalam berakhir Selangor FC mendahului perlawanan dengan jaringan Yohandry Orozco pada minit ke-44 setelah berjaya menanduk masuk hantaran Alvin Fortes dari sebelah kiri padang. Tiga minit selepas separuh masa kedua dimainkan, Yohandry Orozco, menjaringkan gol keduanya selepas menerima hantaran daripada Nooa Laine pada minit ke-48. Skuad Gergasi Merah terus menunjukkan taring selepas Nooa Laine meledak masuk bola ke dalam gawang tuan rumah pada minit ke-57 sebaik sahaja Ali Olwan menghantar bola kepada beliau. Gol terakhir perlawanan ini telah dijaringkan oleh Alvin Fortes pada minit ke-79. Skuad Merah Kuning terus melakukan percubaan demi percubaan sehingga wisel tamat perlawanan ditiupkan. Pihak Asian Football Confederation (AFC) memilih Yohandry Orozco sebagai Man of The Match atas sumbangan dua gol dan satu ‘assist’ dalam perlawanan #DHCSFC ini.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, bangga dengan pencapaian pemain dan mahu pemain terus mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan lain biarpun tidak layak ke pusingan seterusnya ACLTwo 2024/25.
“Saya berpuas hati dan sangat berbangga dengan pemain kerana mereka bekerja keras untuk dapatkan kemenangan dalam perlawanan semalam. Misi utama pasukan adalah untuk hanya tumpukan kepada diri sendiri dan hasilnya, kita berjaya menjaringkan empat gol. Pasukan perlu terus beraksi seperti perlawanan hari ini dalam perlawanan-perlawanan liga dan piala akan datang,” bangga Kinoshi.
“Malangnya, pasukan tidak layak ke pusingan seterusnya kerana Muangthong United FC menang menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC. Walaupun begitu, saya beritahu para pemain untuk sentiasa bermotivasi tinggi untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya tidak kira apa situasi yang kita hadapi.” Akur beliau.
Antara statisik yang diraih adalah Selangor FC telah menjaringkan sembilan gol daripada enam perlawanan saingan ACLTwo 2024/25; tiga daripada Yohandry Orozco; Ronnie Fernandez, Harith Haiqal, Ali Olwan, Quentin Cheng, Nooa Laine dan Alvin Fortes masing-masing telah menyumbang satu gol. Selain itu, Ronnie Fernandez (Away vs MTU), Ali Olwan (Home vs JBH) dan Yohandry Orozco (Home & Away vs DHC) telah dipilih oleh AFC sebagai Man of The Match perlawanan.
Selangor FC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong sama-sama menyokong pasukan sepanjang saingan ACLTwo 2024/25. Sokongan anda amat kami hargai.
Seterusnya, Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman bagi perlawanan Liga Super 2024/25 menentang Negeri Sembilan FC pada 9 Disember ini jam 8:30 malam.
Sebarang makluman lanjut, boleh dapatkan di laman rasmi dan sosial Selangor FC.
Demi Kebanggaan!